Tahukah anda ?
Khalifah merupakan satu jawatan memerintah negara Islam menggantikan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah wafat. Perkataan khalifah berasal daripada perkataan ‘khulafa’ yang bermaksud pengganti. Tugas dan tanggungjawab khalifah sama seperti seorang rasul, cuma khalifah tidak diperlengkapkan dengan mukjizat dan wahyu. Dalam sejarah Islam, terdapat empat orang khalifah yang menerajui Khulafa al Rasyidin dan cara pemilihan mereka adalah berbeza.
Kaedah pelantikan terawal yang digunakan ialah perundingan beramai-ramai atau lebih dikenali sebagai musyawarah. Nabi Muhammad s.a.w. tidak meninggalkan sebarang wasiat mahupun pesanan tentang calon pengganti sebelum baginda wafat. Baginda memberi kebebasan kepada umat Islam memilih calon khalifah sendiri bagi meneruskan pemerintahan negara Islam. Oleh itu, umat Islam telah mengadakan rundingan dan persetujuan tanpa menetapkan calon terlebih dahulu.
Berpandukan pelantikan Saidina Abu Bakar al Siddiq yang pernah mengimamkan sembahyang sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. sedang uzur, para sahabat seolah-olah dapat meneka calon khalifah yang pertama. Kaum Muhajirin dan Ansar telah mewakili umat Islam berhimpun di Dewan Bani Saadah untuk berbincang dan melantik khalifah. Bagi mengelak perselisihan antara Muhajirin dan Ansar, Saidina Abu bakar al Siddiq mencalonkan Saidina Umar al Khattab mewakili Muhajirin dan Abu Ubaidah mewakili Ansar sebagai khalifah. Namun, kedua-duanya menarik diri malah mereka mencalonkan Saidina Abu Bakar al Siddiq sebagai khalifah. Akhirnya, Saidina Abu Bakar al Siddiq telah dibaiah dalam syura sebagai khalifah pertama.
Cara pemilihan seterusnya ialah mengusul atau mencadangkan seorang calon. Khalifah sebelumnya mengusulkan nama calon dan akan dibawa ke musyawarah dalam Majlis Syura dan dibaiah umat Islam.
Cara ini digunakan dalam proses pelantikan khalifah kedua iaitu Khalifah Umar al Khattab. Bagi mengelakkan berulang kembali Gerakan Al Riddah, Khalifah Abu Bakar al Siddiq yang sedang gering telah mencalonkan Saidina Umar al Khattab sebagai penggantinya. Pencalonan ini telah dipersetujui umat Islam dan setelah bermusyawarah bersama para sahabat dan ahli lembaga Majlis Syura, Saidina Umar al Khattab telah dibaiah oleh umat Islam tanpa bantahan. Cara ini bukan berasaskan keturunan atau warisan.
Kaedah seterusnya ialah mengusulkan beberapa orang calon. Khalifah terdahulu akan mencadangkan nama beberapa orang calon dalam kalangan para sahabat untuk dipilih salah seorang daripada mereka. Khalifah Umar al Khattab yang sedang tenat akibat tikaman seorang keturunan hamba Parsi telah menyebut nama Saidina Uthman bin affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Zubair al Awwam dan saad bin Abu Waqas. Puteranya sendiri iaitu Abdullah bin Umar al Khattab tidak dicalonkan.
Musyawarah diadakan di rumah Saidatina Aisyah binti Abu Bakar dan tiga hari selepas kewafatan Khalifah Umar al Khattab, Abdul Rahman bin Auf dipilih mempengerusikan musyawarah memilih pengganti khalifah. Undian telah dibuat dan akhirnya Saidina Uthman bin Affan mendapat kelebihan undi setelah empat orang calon menarik diri. Khalifah Uthman bin Affanmemerintah sebagai khalifah ketiga dalam Khulafa al Rasyidin.
Kaedah terakhir yang digunakan ialah pengusulan oleh sekumpulan masyarakat. Setelah kewafatan Khalifah Uthman bin Affan pada 656M, berlaku pergolakan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan bakal khalifah seterusnya. Madinah ketika ini dikuasai pemberontak. Penduduk Mesir mencadangkan Saidina Ali bin Abu Talib sebagai pengganti khalifah sedangkan penduduk Basrah mencadangkan Talhah bin Ubaidillah manakala penduduk Kufah mencadangkan Zubair al Awwam. Musyawarah terpaksa diadakan dan keputusannya Saidina Ali bin Abi Talib dibaiah sebagai khalifah. Walaupun pada awalnya beliau menolak pelantikan itu, namun atas desakan para sahabat, akhirnya beliau menerima cadangan itu.
Pemilihan dan perlantikan khalifah dijalankan dengan pelbagai cara. Walaupun begitu, terdapat persamaan dalam setiap cara tersebut iaitu kesemuanya berasaskan musyawarah dan persetujuan ramai. Ciri demokrasi ini amat ketara ditambah dengan kriteria pemilihan yang tidak berlandaskan keturunan.
No comments:
Post a Comment