Friday, April 26, 2013

Apa itu Esscom dan Rascom Sabah dan Sarawak?

sabah malaysia esscom

ESSCOM DAN KEPENTINGANNYA DI SABAH

kereta kebal esscom

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kesediaan Kerajaan Pusat & Kerajaan Negeri Sabah untuk menubuhkan kawasan keselamatan khas di Sabah atau pun dikenali sebagai ESSCOM (Eastern Sabah Security Command)

Insiden pencerobohan di Lahad Datu oleh pengganas Sulu serta pembunuhan ngeri enam orang anggota keselamatan di Semporna baru-baru ini menjadi faktor utama yang mendorong kepada penubuhan kawasan keselamatan khas ini

Sebanyak lima batalion tambahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan di tempatkan di ESSCOM, manakala lima lagi Balai Polis akan di bina di Sabah bagi memperkukuhkan keselamatan orang awam dan ketenteraman negeri.

Kawasan keselamatan khas ini akan berpusat di Lahad Datu, sementara empat lagi daerah yang termasuk dalam ESSCOM ialah Kudat, Kunak, Sandakan dan Tawau, yang ke semuanya berada di pantai timur Sabah meliputi kawalan ketat sepanjang 1,400 kilometer.

Kawasan yang sebegini panjang dan luas sememangnya terdedah kepada risiko keselamatan dan pembentukan ESSCOM ini menunjukkan Kerajaan Pusat telah mengambil iktibar dari insiden pencerobohan itu sebagai pengajaran berguna.

Usaha menambah baik aspek keselamatan sempadan Sabah ini merupakan langkah pro aktif yang membuktikan keprihatinan Kerajaan dalam menjaga keselamatan rakyat negeri ini. Dari sudut lain, kebanjiran pendatang asing juga akan dapat di kekang.

Kewujudan ESSCOM juga selain bermatlamat untuk membendung pencerobohan di Lahad Datu dari terus berulang di masa depan, di masa yang sama ia meningkatkan keyakinan para pelabur yang sebelum ini telah menjauhkan diri berikutan insiden tersebut.

Sekitar tahun 1970-an dulu di Sarawak pernah wujud Markas Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) yang terbukti berjaya menghapuskan ancaman pengganas komunis di Sarawak yang kemudiannya diikuti dengan limpahan keamanan dan tumpuan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan.

Justeru itu kewujudan ESSCOM di Sabah juga diyakini mampu mencapai matlamatnya sama seperti kejayaan RASCOM sekaligus mengembalikan semula ketenteraman dan merancakkan semula kegiatan ekonomi di negeri ini.

esscom sabah

Esscom akan bawa manfaat seperti Rascom

KUALA LUMPUR – Pewujudan Eastern Sabah Security Command (Esscom), kawasan keselamatan khas sepanjang 1,400 kilometer di timur Sabah, akan membawa manfaat seperti Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom) di Sarawak dalam menjamin keselamatan.

Bekas pegawai staf operasi di markas Rascom, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, penting Esscom diwujudkan kerana negara menghadapi satu keadaan diancam musuh yang mempunyai senjata, rakyat tidak selamat serta mampu menjejaskan ekonominya.

“Kita tak boleh biarkan ia (ancaman) berlaku. Saya yakin, Esscom mampu membuahkan kejayaan seperti Rascom,” katanya yang yakin pembentukan Esscom nanti akan mencontohi strategi Rascom yang dibubarkan pada 6 April 1995.

Model Rascom masih relevan, strategik dan wajar diguna pakai pada abad ke-21 ini kerana negara sedang menghadapi musuh bersenjata yang menggugat keamanan negara, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pembentukan Esscom diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri Sabah.

Menceritakan peranan Rascom, katanya: “Dahulu, pada era 70-an, Majlis Keselamatan Negara mengarahkan supaya Rascom diwujudkan kerana kita menghadapi ancaman pengganas komunis militan dari Parti Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) di bahagian tengah Sarawak iaitu Sibu, Kapit, Sarikei, Mukah dan Bintulu.”

Zulkiflee yang berpangkat kapten semasa bertugas di markas Rascom dari 1978 hingga 1980 pada usia 24 tahun, berkata Rascom yang diketuai Penglima Pasukan Keselamatan William Tang, amat berjaya sehingga mampu membuat komunis menyerah diri dan mengakhiri pemberontakan komunis di Sarawak yang berlarutan selama lebih tiga dekad.

Beliau yang pada ketika itu ditugaskan di Sibu, Sarawak berkata kejayaan Rascom bukan sahaja dilihat berdasarkan kecekapan daripada segi menjaga keselamatan penduduk di Sarawak sahaja, malah kawasan keselamatan khas itu juga membawa pembangunan yang amat pesat seperti kemasukan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (Risda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) ke bumi kenyalang itu.

Menceritakan pengalaman berkhidmat di Rascom, Zulkiflee yang kini merupakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia berkata, Rascom mempunyai dua tujuan iaitu menjaga keselamatan dan mewujudkan pembangunan serta melibatkan tiga komponen.

“Yang pertama daripada segi keselamatan. Tentera bertanggungjawab mewujudkan keselamatan di kawasan itu dengan pergi ke hutan-hutan untuk memburu komunis. Pada masa itu juga, kita gunakan helikopter Nuri untuk melakukan pemantauan udara pergerakan komunis ini.

“Polis pula bertugas menjaga ketenteraman orang ramai dan menguatkuasakan undang-undang manakala masyarakat awam berperanan membangunkan ekonomi di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata perkara utama yang dilakukan dalam Rascom adalah mewujudkan skim penempatan semula yang antara lain dapat mengasingkan penduduk dengan komunis, dan ini merupakan perkara asas.

“Apabila keselamatan terjamin, kemudian barulah ekonomi dapat dibangunkan,” katanya.

Zulkiflee yang ketika itu ditugaskan di bahagian perancangan, gerakan dan operasi menentang komunis di Rascom berkata daripada segi keselamatan, banyak operasi dijalankan untuk mengekang komunis di Sarawak antaranya sekatan jalan raya bagi menghalang kemasukan bekalan makanan kepada komunis.
esscom map
“Dalam memastikan tiada komunis melakukan penyamaran dan sebagainya, sistem pendaftaran penduduk juga dilakukan. Kawalan keselamatan yang ketat juga dilakukan agar tiada komunis yang dapat memasuki pekan-pekan,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran insiden penceroboh kumpulan militan Sulu di Lahad Datu, Sabah, Zulkiflee berkata apa yang juga perlu dilakukan nanti ialah memulihkan semangat masyarakat Suluk di Sabah ekoran kejadian itu.

“Mungkin ada antara mereka yang masih bersedih, tidak berpuas hati terhadap apa yang kerajaan terpaksa lakukan terhadap waris-waris atau saudara mara mereka…ini cabaran kita untuk pulihkan semangat mereka, pastikan mereka setia dan sokong kerajaan kerana mereka memilih untuk tinggal di negara ini,” katanya.

Zulkiflee juga berkata Esscom perlu memberi penekanan yang lebih terhadap ciri-ciri keselamatan di daratan dan lautan.

“Oleh kerana sempadan kita dengan negara jiran tu cukup panjang dan mudah diceroboh, jadi saya rasa kawalan periaran terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mestilah ketat daripada segi keluar masuk kapal-kapal.

“Kedua, kawalan Imigresen juga perlu diperketatkan supaya orang keluar masuk ada dokumen rasmi, kebenaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata dalam usaha mewujudkan pembangunan dan kemakmuran di Sabah, selain faktor keselamatan, pembangunan infrastrukur, pendidikan dan ekonomi perlu seiring. – Bernama

ESSCOM sebagai arahan pusat

Azmi Hassan Utusan Malaysia

MUNGKIN ramai rakyat Malaysia merasa gelisah dengan keadaan keselamatan di pantai timur Sabah sehingga memaksa kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Pembentukan ESSCOM telah diumumkan secara dasar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lalu yang merangkumi kawasan pantai timur negeri itu termasuk Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

Memang benar ESSCOM bukanlah sesuatu yang asing bagi Malaysia kerana ketika Sarawak berhadapan dengan ancaman komunis pada tahun 1970-an, Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) secara khusus diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman tersebut.

Sudah pasti ada yang mempersoalkan mengapa baru kini kerajaan menubuhkan ESSCOM sedangkan ancaman keselamatan memang sudah lama ujud seperti beberapa siri penculikan yang didalangi oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina.

Perlu ditekankan bahawa selama ini sememangnya ujud beberapa struktur keselamatan khas khusus untuk menangani isu keselamatan Sabah yang dianggap begitu mencabar dan unik. Mencabar kerana perairan terbuka sepanjang 1,400 kilometer begitu sukar untuk diawasi dan unik kerana komposisi penduduk Sabah yang mempunyai sejarah asal usul begitu menarik.

Operasi Padanan & Sipadan Island Resort atau lebih dikenali dengan nama singkatan Ops Pasir adalah salah satu struktur keselamatan yang diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman khusus iaitu penculikan pelancong terutama sekali di pulau terpencil. Ops Pasir mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan diuruskan oleh Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (MAB-ATM).

Begitu juga dengan organisasi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen mempunyai peranan tertentu demi menjamin keselamatan perairan Sabah.

ESSCOM ditubuhkan bukan kerana fungsi ATM, PDRM, APMM dan Imigresen tidak efektif atau untuk mengambil alih tugas tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh entiti organisasi tersebut.

Selama ini setiap aktiviti organisasi tersebut melaksanakan tugas masing-masing secara berasingan kerana setiap entiti tersebut mempunyai arahan pusat (central command) yang berbeza. Timbul beberapa kekangan terutama sekali dari segi kepantasan berkongsi maklumat risikan kerana masing-masing mempunyai strategi dan kepentingan yang berlainan di antara satu sama lain.

Betapa pentingnya penyelarasan arahan pusat diserlahkan lagi apabila Ops Pasir ATM dikendalikan oleh MAB kerana untuk menyelaraskan tugas antara tiga cabang perkhidmatan utama mereka iaitu tentera darat, laut dan udara.

Amerika Syarikat (AS) umpamanya telah belajar dari kesilapan kerana tidak mempunyai penyelarasan perkongsian maklumat risikan di antara Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) yang mengakibatkan kegagalan mengesan plot serangan pengganas yang berlaku pada 11 September 2001. Kini mereka menubuhkan satu entiti khas yang dipanggil Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (Homeland Security) sebagai asas penyelarasan semua aktiviti keselamatan AS.

Dengan adanya entiti Homeland Security dengan diketuai oleh Setiausaha yang lebih popular dikenali sebagai Czar keselamatan, semua aktiviti umpamanya oleh FBI dan CIA dapat diselaraskan. Konsep ini bukan sesuatu yang asing dan ESSCOM juga mempunyai maksud yang serupa.

Penyelarasan

Beberapa hari lepas Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa telah mengumumkan ESSCOM akan melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang bertanggungjawab melakukan penyelarasan segala operasi keselamatan bukan sahaja agensi seperti ATM, PDRM, APMM dan Imigresen tetapi juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). CEO ESSCOM ini adalah tidak ubah seperti Czar Homeland Security AS.

Kesan awal penubuhan ESSCOM telah pun mulai dirasai walaupun CEOnya belum dilantik kerana PDRM telah mengumumkan akan memperkukuhkan barisan formasi dan aset pasukan itu dan akan membangunkan enam buah balai polis baharu kerana kawasan rangkuman ESSCOM meliputi sembilan daerah pentadbiran polis.

Untuk menghayati aspirasi penubuhan ESSCOM, rakyat Malaysia perlu juga meneliti perjalanan sejarah kaedah pengawalan sempadan AS-Mexico sepanjang 5,000 kilometer. Tidak keterlaluan jika diandaikan sejarah sempadan AS-Mexico ini adalah begitu selari dengan keadaan sempadan Sabah-Selatan Filipina.

Sebahagian besar wilayah di California, Arizona, New Mexico dan Texas adalah wilayah asal Mexico yang terpaksa diserahkan kepada AS mengikut Perjanjian Guadalupe Hidalgo yang dimeterai pada tahun 1848. Pada awalnya kawalan sempadan di antara kedua-dua negara tidak mempunyai kawalan yang ketat dan rakyat kedua-dua negara bebas keluar masuk.

Sebab itu dikatakan komposisi penduduk keempat-empat negeri AS yang bersempadan dengan Mexico mempunyai pertalian persaudaraan yang rapat di antara kedua-dua negara dan senario ini adalah begitu serupa dengan keadaan di Sabah.

Kawalan keselamatan AS-Mexico mula diperketatkan pada era Presiden Ronald Reagan tahun 1980-an apabila masalah penyeludupan dadah menjadi meruncing. Walaupun berbagai teknologi canggih digunakan dan pembinaan pagar konkrit dibina untuk mengekang aktiviti ini, hanya kejayaan yang terhad telah diperolehi.

Sebab utama adalah kerana tidak ada koordinasi dan penyelarasan aktiviti agensi yang mengawal sempadan yang membuatkan segala usaha mendapat kesan minimum. Menyedari hakikat ini pada tahun 1994 Presiden AS pada ketika itu Bill Clinton telah melantik Alan Bersin sebagai Czar pengawalan sempadan AS-Mexico untuk menyelaras semua aktiviti kawalan.

Pengawalan sempadan AS-Mexico menjadi lebih berkesan kerana jawatan Czar memberi ruang kepada Bersin untuk bertindak sebagai arahan pusat. Setiap strategi yang dilaksanakan mudah di koordinasikan di antara keempat-empat negeri yang mempunyai sempadan bersama Mexico.

Umpamanya Strategi Ryes yang diperkenalkan oleh Bersin untuk mengekang kemasukan asing berjaya dilaksanakan secara bersepadu melalui Operasi Gatekeeper di California, Operasi Rio Grande di Texas dan Operasi Nogales di Arizona. Kesemua ini dapat dilakukan kerana jawatan Czar sempadan mempunyai kuasa arahan pusat.

Begitu juga dengan ESSCOM, tidak dinafikan teknologi canggih untuk mengekang kemasukan asing dan juga mengumpul maklumat risikan akan memainkan peranan penting untuk memastikan peristiwa pencerobohan Lahad Datu tidak akan berulang lagi. Peranan teknologi canggih mempunyai kekuatan yang ada hadnya jika ia tidak digunakan secara pintar.

Tetapi apa yang lebih penting adalah semua maklumat risikan tersebut perlu diproses dengan pantas dan betul. Disini struktur ESSCOM adalah kritikal kerana ia perlu bertindak sebagai arahan pusat dengan seorang CEO atau Czar yang menjadi tonggak utama.

Kawasan ESSCOM dalam beberapa bulan mendatang sudah pasti akan menyaksikan perubahan mendadak dalam aspek keselamatan bukan sahaja dari segi pertambahan kehadiran anggota keselamatan tetapi juga aset berkaitan seperti balai polis, pos pendalaman dan perairan dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Kesemua aset tersebut tidak akan memberi makna jika tiada koordinasi aktiviti dan disinilah peranan ESSCOM menjadi kritikal. Perlu ditegaskan penubuhan ESSCOM bukan memberi maksud bahawa selama ini keselamatan perairan Sabah diabaikan, tetapi sebenarnya untuk memantapkan lagi struktur keselamatan sedia ada menghadapi cabaran masa hadapan. Utusan

No comments:

Post a Comment