Friday, July 4, 2014

Alang Alang Menyeluk pekasam



Orang Melayu sememangnya mempunyai gedung ilmu yang amat bitara sifatnya, sama ada ingin dimanfaatkannya atau sebaliknya terpulang kepada orang Melayu itu sendiri. Orang Melayu memiliki al.Quran dan al.Hadis. Al.Quran dan al.Hadis merupakan gedung ilmu yang paling utama, di samping itu mereka mempunyai kata-kata hikmah, perumpamaan, peribahasa, gurindam, pantun nasihat dan seumpamanya, semuanya itu jika dibaca,dimutalaah, diselungkar, dikaji ianya mampu mendidik orang Melayu menjadi baik dan berakhlak mulia.

Pada kali ini artikel ini akan merujuk kepada salah satu perumpamaan yang sering digunakan di dalam masyarakat Melayu, kurang pasti pula sama ada perumpamaan ini menyindir atau menyatakan sikap seseorang atau sesuatu kumpulan manusia, tetapi yang pastinya adalah mengenai penglibatan di dalam aktiviti kejahatan, sama ada kejahatan terang- terangan atau kejahatan yang tersembunyi yang akhirnya terdedah bagai bangkai gajah yang sukar hendak ditutup. " Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan " inilah perumpamaan yang dimaksudkan itu.



"Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan" - bermaksud kalau sudah terlanjur melakukan kejahatan, biarlah berjuang habis-habisan sehingga memperolehi hasil daripada perbuatan tersebut. Adakah rangkaikata ayat ini merupakan suara hati mereka yang sedang terlibat dengan kejahatan yang disedarinya atau suara sindiran orang lain terhadap mereka yang melakukan kejahatan ataupun itulah sikap yang terbina di dalam diri orang jahat itu, 


semua telahan dan tebakan itu sukar hendak dibuat kesimpulannya.

Pekasam sebenarnya makanan orang Melayu yang popular juga,mungkin boleh dikategorikan sekumpulan dengan budu atan cencalok di mana pekasam ini bahan masakannya ialah ikan ( ikan darat / ikan air tawar ) seperti ikan sepat, puyu dan lain-lain yang disempurnakan dengan resipinya yang tertentu seperti garam, susu beras dan seumpamanya di mana setelah siap digaulkan akan diperam dalam tempoh tertentu sehingga ianya berair dan ketika ini makanan ini akan mengeluarkan bau yang sangat busuk , untuk memakannya sebagai salah satu menu sama ada untuk makan tengah hari atau malam, maka pekasam itu hendaklah digoreng bersama bawang terlebih dahulu sehingga garing, insya Allah rasanya sedap dan lazat.

Oleh itu pekasam bukanlah sesuatu yang buruk atau hina tetapi baunya sahaja yang tidak menyenangkan, perumpamaan di atas lebih menyentuh dan menekankan tentang baunya yang busuk dan hina yang bersemadi di dalam diri pekasam tersebut.

Berbalik kepada perumpamaan ini kita seharusnya melihat kepada maksud yang tersirat di dalamnya.di mana tujuan perumpamaan ini adalah menasihati masyarakat supaya tidak berkelakuan atau mengambil sikap melakukan kejahatan sehingga terhasil kejahatan tersebut.
_________________________________


Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya sentiasa insaf.

" Jika"

Sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan.

_______________________________


Sebaliknya masyarakat boleh juga mengambil sikap positifnya iaitu melakukan sesuatu pekerjaan yang baik walaupun dihina orang, pekerjaan itu tetap diteruskan sehingga berjaya, menyeluk pekasam boleh kita artikan sebagai susuatu yang baik kerana pekasam itu makanan yang halal, mencari atau mendapatkan rezeki yang halal seeloknya diusahakan sehingga ke penghujungnya atau sehingga ianya berjaya.


Kejatuhan Zine El Abidine Ben Ali (Zainal Abidin bin Ali) - (Tunisia) - dan 

Hosni Mubarak- ( Mesir ) diumpamakan oleh rakyat umum sebagai "Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan" iaitu suatu sikap yang tidak baik yang ditunjukkan mereka sehingga kejahatan dan busuknya terserlah ke seluruh dunia, seumpama bangkai gajah yang tidak mungkin ditutup dengan nyiru. Akhirnya kebusukan itu tidak lagi kembali pulih, sebaliknya terus membusuk sehingga ke akhir hayat mereka

1 comment: