Thursday, March 26, 2015

PERJUANGGAN AKHIR ZAMAN

Berbagai-bagai cara dan strategi untuk mencapai matlamatnya.



Ia kelompok masyarakat atau jemaah tersebut samada bilangannya kecil atau besar di satu sesebuah tempat. Ia mengikut kesedaran masyarakat di satu-satu tempat itu juga. Sedikit kelompok manusia yang sedar maka kecillah bilangannya, jika ramai kesedaran masyarakat di tempat tersebut besar pula saiz jemaah itu. Kelompok masyarakat tersebut ada yang disebut JEMAAH BANI (berasaskan sesebuah keluarga seperti beberapa yayasan dan gerakan jemaah di negara ini yang terkenal dengan gelaran nama pengasasnya), jika di Timur Tengah HIMPUNAN BANI disebut JEMAAH KABILAH, himpunan KABILAH disebut DAULAH, himpunan beberapa daulah disebut EMPAYAR. Bergantunglah pada sesebuah tempat itu.


Firman Allah:


وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ


Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran:104).


Ertinya Islam tidak berjuang secara individu atau secara berseorangan tanpa ada jemaah, pemimpin dan pengikut serta tanpa aktiviti, kerana Islam itu adalah cara hidup bernegara, berekonomi, bermasyarakat, berpendidikan, berhubung, berkebudayaan, berundang-undang, berdisiplin dan lain-lain lagi.


Oleh kerana perjuangan Islam itu adalah terpaksa sibuk, berkorban, terkorban, menghabiskan masa, berhadapan dengan kesusahan dan cabaran, terpaksa mengetepikan kepentingan diri, maka selepas kejatuhan empayar Islam ada beberapa golongan umat Islam dalam menghadapi perjuangan ini iaitu:


1. Golongan yang hidup matinya untuk Islam. Faham apa yang mereka perjuangkan. Bersungguh-sungguh mengamalkan di dalam diri mereka dan keluarga mereka. Memberi seluruh jiwa raga, masa dan harta untuk Allah dan Rasul. Mereka sanggup berhadapan dengan sebarang risiko, bahkan mati di dalam perjuangan itu memang ditunggu-tunggu. Syahid adalah idaman mereka. Golongan ini amat sedikit dan darjatnya lebih tinggi daripada ahli ibadah.


2. Golongan yang bersungguh-sungguh berjuang seperti golongan yang pertama tadi serta faham apa yang mereka

perjuangkan. Cuma lemah mujahadah melawan nafsu. Didalam gigih berjuang itu, maksiat dibuat juga. Di dalam ada

cita-cita Islam, terlibat juga dengan dosa. Ini terserahlah kepada Allah Taala, terpulanglah kepada Allah. Dia mengampunkan sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki. Atau jika kebaikan yang mereka lakukan lebih banyak daripada kejahatan, maka beratlah amalan kebaikannya maka mereka tergolong dalam ashabul yamin.


3. Golongan yang berjuang secara jahil. Fardhu ain di dalam diri pun belum selesai. Mereka berjuang semata-mata kerana semangat dan fanatik sahaja. Di dalam perjuangan mereka mengganas, merosak dan menzalim sama ada di sedari atau tidak. Mereka itu kalau gigih sekalipun berjuang, namun Allah SWT tidak akan menerima perjuangan mereka. Kerana kerosakannya lebih banyak daripada kebaikannya. Golongan ini agak ramai di zaman ini.


4. Umat Islam yang berjuang bukan kerana Allah dan Rasul atau bukan kerana hendak menegakkan Islam tapi berjuang kerana mahu merebut pangkat atau kerana sakit hati dengan musuh-musuhnya atau kerana kemegahan bangsa, negara atau kerana nama atau kerana ideologi. Islam itu hanya diselit-selitkan atau dijadikan bahan slogan untuk mempengaruhi umat Islam. Golongan ini tertolak. Sama ada jadi zalim, fasik atau kafir.



5. Golongan yang ingin berjuang tapi belum mula berjuang kerana wadah-wadah perjuangan yang wujud di negaranya atau jemaah perjuangan yang ada di negaranya tidak meyakinkan.

Kerana tahu tidak ada kemampuan dan kelayakan, mereka beribadah dan membaiki diri sambil menunggu perjuangan yang sebenar. Mereka lebih banyak menyendiri. Golongan ini memang elok menyendiri.


6. Golongan yang menghabiskan masa untuk ibadah serta membaiki diri, sedangkan kemampuan ada. Walaupun ada perjuangan kebenaran di hadapan matanya namun mereka tidak mahu menggabungkan diri. Kerana tidak mahu bersusah payah atau tidak mahu menerima atau menanggung risikonya. Golongan ini dimurkai Allah SWT kerana hanya pentingkan diri mereka sahaja.



7. Golongan yang uzur, sama ada uzur disebabkan sakit atau cacat anggota atau tua atau terlalu miskin, sedangkan tanggungjawab serta ada keluarga yang hendak ditanggung. Maka mereka tidak dapat ikut serta di dalam perjuangan, hanya memberi doa semata-mata. Golongan ini dimaafkan.



8. Golongan yang memilih menghabiskan masa untuk beribadah daripada berjuang di waktu musuh belum begitu mengancam terhadap umat Islam dan negara Islam. Sedangkan sudah ada golongan lain yang berjuang dan tenaga itu sudah cukup sebagai menegakkan fardhu kifayah. Maka golongan itu diharuskan untuk bersikap demikian tapi pahalanya rendah dibandingkan dengan golongan yang berjuang itu.



9. Golongan yang sudah tidak mempedulikan langsung terhadap

Islam. Mereka ialah Islam keturunan. Ibadah untuk dirinya sahaja, tidak mahu berjuang, malah mereka tidak mahu fikir mengenainya dan hanya mahu hidup semata-mata. Memikirkan makan, minum dan seks sahaja. Islam tidak ada langsung di dalam hati mereka. Golongan ini disangsikan keislaman mereka.



10. Ada golongan pada mulanya menceburkan diri di dalam perjuangan. Apabila mendapat kesusahan atau tidak tahan berhadapan dengan ujian dan cabaran, akhirnya mengundurkan diri. Yang mengundurkan diri itu, ada yang menentang dan ada yang tidak menentang.


11. Ada golongan yang menggabungkan dirinya di dalam perjuangan setelah perjuangan itu telah menghasilkan buahnya, ertinya setelah perjuangan memberi kesenangan. Tapi apabila berhadapan dengan ancaman atau ujian yang berat, ia akan menentang perjuangan itu dan adakalanya terus menyebelahi musuhnya.


Maksud firman Tuhan:


Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (Ali Imran: 105)


Menyedari hakikat bahawa kehidupan ini terlalu amat singkat berbanding dengan kehidupan Akhirat yang kekal abadi itu, tentulah tidak ada manusia yang waras yang sanggup mensia-siakan kehidupan hidup ini begitu sahaja. Sudah tentu kita tidak biarkan Islam tinggal yatim piatu. Tentulah kita tidak akan sampai menderhakai Tuhan hanya untuk kesedapan sedetik. Apatah lagi, sudah tentulah takut untuk berbuat dosa dan maksiat walaupun sekelumit. Tentulah tidak akan sampai menderhakai Tuhan hanya untuk mengelak penderitaan dunia yang sakitnya ibarat gigitan semut ini. Tentulah tidak sanggup berlalai-lalai dengan kehidupan sekejap ini sehingga terpaksa menaggung derita yang amat panjang lagi dahsyat di Neraka, dan terlepas dari nikmat Syurga yang tidak dapat dilintaskan oleh hati.

No comments:

Post a Comment